Program Sarapan Percuma Bermula Hari Ini

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin (kiri) meninjau Program Sarapan Pagi (PSP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebagu, Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,000 murid di 100 sekolah terpilih di seluruh negara menikmati sajian sarapan pagi percuma menerusi Program Sarapan Percuma (PSP) fasa pertama yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata ia satu penambahbaikan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diperkenal Kementerian Pelajaran sejak 1979.

Beliau berkata, antara penambahbaikan dilaksana termasuk pemilihan kriteria murid dari golongan miskin berbanding hanya miskin tegar sebelum ini.

“Di mana dulu fokusnya adalah gologan miskin tegar atau murid dari kalangan orang kelainan upaya (OKU) atau murid di sekolah Orang Asli.

“Bezanya kali ini, berdasarkan paras kemiskinan nasional, kita perluaskan kepada murid miskin. Jadi, lebih ramai murid dapat manfaat RMT,” katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Seri Suria, di Puchong, pagi ini.

Beliau berkata, makanan disediakan berdasarkan cadangan Kementerian Kesihatan, iaitu setiap sajian mengandungi nutrisi dan kalori sesuai kepada murid.

“Ada lebih 20 menu disediakan dan pihak sekolah melalui kantin boleh bergilir untuk menyediakan menu berkenaan.

“Bagi sekolah kecil, kita cadangkan disediakan oleh PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), guru atau ibu bapa. Jika tidak ada kita bagi kepada pihak luar untuk sediakan,” katanya.

Habibah berkata, kebanyakan sekolah terpilih terletak berhampiran dengan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan 90 peratus murid menghuni di kawasan itu.

“Kita juga bekalkan borang kepada murid (untuk diisi penjaga). Kita tidak boleh beri makanan sembarangan kepada murid. Jadi murid yang dapat, sudah ada persetujuan ibu bapa.

“Dalam borang juga, kita minta supaya murid membuat permintaan jika ada sebarang alahan dan makanan yang boleh atau tidak boleh diambil,” katanya.

Ditanya sama ada jumlah 100 sekolah akan diperluas selepas ini, Habibah berkata ia bergantung kepada peruntukan diberi kerajaan dan kementeriannya tiada halangan untuk memperluas ke sekolah lain.

Menyentuh agihan makanan itu, beliau berkata, buat masa ini ia hanya berlangsung pada waktu pagi iaitu bermula jam 7 pagi hingga 7.30 pagi.

“Ada juga murid yang tidak sempat (ambil sebelah pagi) dibenarkan untuk makan pada waktu rehat.

“Ada juga sekolah dua sesi. Bagi sesi petang, ia bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang,” katanya sambil memaklumkan setiap bekas makanan akan tertera nama setiap murid yang menerima.

Terdahulu, Dr Habibah Abdul Rashim, turut berkesempatan mengunjungi Sekolah Kebangsaan Seri Suria, di Puchong bagi meninjau pelaksanaan program itu pagi ini.

Sebelum ini PSP 2020 bakal memberi manfaat itu kepada 2.7 juta murid sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan.

PSP adalah usaha menerapkan pengambilan sarapan pagi dan gaya hidup sihat agar murid-murid lebih fokus ketika sesi pembelajaran.

Khamis lalu, Perdana Menteri yang juga Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kementerian Pendidikan akan meneruskan PSP 2020 seperti yang dijadualkan bermula hari ini.

Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir program terbabit hanya khusus untuk murid yang kurang berkemampuan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *