Mudah Laksana Pembaharuan Jika Kimanis Bersama Warisan

KIMANIS: Rakyat perlu memberi kemenangan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabtu ini demi merealisasikan janji-janji kerajaan termasuk membina pejabat daerah di kawasan itu.

Ketua Wira Warisan Sabah, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, pelaksanaan tersebut lebih mudah jika rakyat Kimanis di pihak kerajaan bukannya bersama pembangkang.

Selain itu katanya, jika Kimanis bersama kerajaan, lebih mudah untuk mencipta peluang pekerjaan di situ dengan memanfaatkan Terminal Minyak Dan Gas Sabah (SOGT).

“Gas di Kimanis akan di proses di Kimanis, Kerajaan Sabah tidak mahu gas Kimanis diproses di Bintulu, Sarawak dan kita memerlukan ahli Parlimen Kimanis membantu suara kerajaan untuk tuntutan ini sebagai ahli parlimen kerajaan.

“Nelayan-nelayan di Kimanis pula akan di berikan bantuan untuk membolehkan anak-anak muda Kimanis menceburi bidang ternakan ikan di persisiran pantai Kimanis,” katanya ketika berucap dalam majlis Sambutan Tahun Baharu Cina malam tadi.

Mohd. Azis berkata, kemenangan di Kimanis juga akan menghantar mesej jelas kepada Putrajaya bahawa rakyat Sabah bersatu dalam menuntut Perjanjian Malaysia (MA63) berkaitan hak-hak negeri ini ditunaikan.

Jelah Mohd. Azis, selama 26 tahun Kimanis bersama Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan dan disebabkan kerajaan sudah bertukar, maka Warisan perlu diberi peluang mewakili kawasan Parlimen itu.

“Kalau dulu orang Kimanis boleh memberikan kepercayaan kepada parti yang diasaskan di Semenanjung, hari ini Warisan adalah parti berbagai kaum milik orang Sabah yang diasaskan di Sabah.

“Rumah ini milik kita, Kimanis bukan Tanjung Piai,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *