Lelaki Parah Kereta Dipandu Bertembung Lori Di Jalan Semporna-Tawau

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dibantu pegawai perubatan sebelum dikejarkan ke hospital Semporna.

SEMPORNA: Lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir sejam akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 38, Jalan Semporna-Tawau, di Semporna, semalam.

Kejadian 12.30 tengah hari itu apabila mangsa, Vung Chee Siong, 23, patah kaki kanan selain pendarahan dalaman di bahagian perut.

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta dari arah Tawau menuju ke Semporna dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya sebelum bertembung lori tiga tan dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk dan remuk di bahagian hadapan sebelum terbabas ke sebelah kiri di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pemandu lori berumur 28 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mangsa dihantar ke hospital Semporna menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Semporna, Fazizul Hizam Borhan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori.

“Sebaik tiba, seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas.

“Anggota bomba mengambil masa selama hampir 10 minit sebelum mangsa berjaya diselamatkan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan kira-kira sejam kemudian.

Keadaan lori 25 tan

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *