PENAMPANG: Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang menimbulkan kekecohan ketika Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) yang berlangsung di Membakut esok.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata pihaknya akan menempatkan anggota polis di kawasan himpunan dan membuat penugasan minima bagi mengelak timbulnya sebarang perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan di kawasan itu.
Anjuran dua NGO iaitu PIPA dan Sorak Sabah, himpunan itu akan menampilkan empat penceramah iaitu mantan Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee, mantan Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, Presiden Star Sabah dan Adun Tambunan/Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua Penerangan PBS merangkap Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai.
“Polis akan buat penugasan minima kecuali menerima maklumat yang wujudnya ancaman dan tindakan agresif hingga boleh mengancam keselamatan orang ramai, polis akan tingkatkan kawalan keselamatan.
“Orang ramai mahupun pihak penganjur yang hadir perhimpunan itu supaya mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan.
“Jangan sesekali melakukan provokasi hingga mendatangkan kekecohan dan pergaduhan. Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.
Sementara itu, mengenai akaun Facebook dengan penama ‘Aziz Jaafar Lajuna yang meminta pendatang asing tanya izin (PTI) membuat kecoh ketika himpunan bantah PSS tersebut, Omar berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu namun polis akan menyiasat.
“Kita akan siasat benda ini dan kita nilai semula… jika betul, kita akan tingkatkan kawalan kerana yang penting adalah keselamatan orang awam di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun setakat ini Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis berjalan lancar dan tiada insiden-insiden yang serius berlaku yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan berkenaan,” katanya.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari ini. – SabahNewsToday