Pengguna Merungut Jalan Pintas Makin Teruk

 Gambar terbaharu diambil pada Sabtu keadaan jalan pintas laluan tali air Simpang Paroo menuju Kampung Tahak, Dungau dan Piasau, yang semakin teruk dan menyulitkan pengguna jalan raya.

Mohon kerajaan dan pemimpin setempat diambil tindakan segera

MEMBAKUT: Setelah lebih dua minggu disiarkan media, belum ada tindakan diambil oleh mana-mana agensi kerajaan mahupun pemimpin setempat untuk membaiki kerosakan jalan pintas laluan tali air Simpang Paroo menuju Kampung Tahak, Dungau dan Piasau, di sini.

Pada 30 Disember lepas, Utusan Borneo menyiarkan laporan berkaitan kerosakan jalan berkenaan yang semakin teruk dan berharap diperbaiki segera.

Penduduk yang ditemui berharap keadaan itu diperbaiki dan diambil tindakan, apatah lagi kawasan berkenaan termasuk dalam Parlimen Kimanis yang mengadakan pilihan raya kecil pada 18 Januari ini.

Menurut mereka, agak menyedihkan kerana laluan yang tidak begitu jauh dipinggirkan sejak sekian lama sedangkan kawasan berkenaan juga mempunyai ramai pengundi berdaftar.

Sebelum pilihan raya umum dahulu, laluan berkenaan diturap sedikit sehingga ke satu kawasan tanah perkuburan saja, sekali gus menimbulkan kata-kata sinis bahawa projek itu hanya untuk ‘pengundi hantu’.

Kemudian selepas laporan Utusan Borneo pada 30 Disember lepas, bahagian di penghujung jalan pula ditimbun batu, juga setakat kawasan perkuburan juga, sedangkan di bahagian pertengahan jalan tidak diambil tindakan.

Tinjauan terbaharu pada Sabtu mendapati laluan yang rosak itu semakin teruk keadaannya berikutan hujan lebat sebelumnya, sehingga menyukarkan kenderaan kecil melaluinya.

Kerosakan jalan itu bertambah buruk sejak November lepas apabila dilakukan kerja-kerja mengorek tanah bagi pemasangan paip air oleh kontraktor Jabatan Bekalan Air di kawasan berkenaan, menyebabkan lumpur menutupi laluan.

Laluannya yang agak sempit menyukarkan jika ada dua kenderaan berselisih dari arah bertentangan.

Akibatnya, salah satu kenderaan terpaksa berhenti ke tepi bagi memberi laluan kenderaan yang satu lagi. Ada penduduk mendakwa pernah beberapa kali kenderaan terperosok dalam lubang tanah yang dikorek di situ.

Keadaan diburukkan lagi apabila kawasan terbabit dilanda banjir tahun lepas, menyebabkan sebahagian besar batu hanyut, manakala jalan menjadi berlubang besar dan dalam. Kenderaan kompak kecil pasti akan tersangkut.

Berikutan itu, penduduk meminta jabatan dan agensi kerajaan berkaitan membaiki kerosakan berkenaan atau menaik taraf keseluruhan laluan pintas tali air berkenaan.

Laluan pintas itu sudah berturap sebahagiannya, dan merupakan jalan pintas bagi pengguna dari beberapa kampung menuju ke pekan Membakut dan sebaliknya, selain satu lagi laluan berturap yang agak jauh sedikit.

“Kita berharap kerajaan menerusi jabatan atau agensi berkaitan mengambil tindakan segera. Kerosakan sudah lama berlaku, tapi bertambah teruk baru-baru ini, apabila berlaku kejadian banjir,” katanya.

Kawasan perkampungan ini letaknya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan Parlimen Kimanis.

Utusan Borneo

597