Isteri Parah Terkena Tembakan Suami

Kesan luka di paha dan tangan mangsa selepas suaminya secara tidak sengaja tertarik picu senapang buatan sendiri di di Kampung Baba, Telupid di Beluran semalam. Foto Juwan Riduan

Isteri parah, suami tertarik picu bakakuk

BELURAN: Wanita parah terkena tembakan suaminya yang sedang mencuci senapang buatan sendiri jenis bakakuk dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Baba, Telupid di Beluran semalam.

Mangsa yang berusia 34 tahun terbabit cedera di paha dalam kejadian pada 4 petang itu dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum dipindahkan ke Hospital Ducthess Of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat dari Klinik Kesihatan Telupid yang memaklumkan seorang wanita parah akibat terkena tembakan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suami mangsa yang juga seorang petani didakwa sedang mencuci senapang berkenaan sebelum terpetik picu dan tertembak isterinya sendiri.

“Susulan itu, suspek segera mendapatkan bantuan dan kemudian menghantar mangsa ke klinik kesihatan

“Rakaman percakapan mangsa belum dapat diambil kerana sedang menerima rawatan dan ditahan di wad hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan ke atas lelaki berkenaan selepas dia menyerah diri.

“Siasatan masih dijalankan dan dinasihatkan kepada semua masyarakat agar tidak menyimpan atau memiliki senjata api tanpa lesen kerana ia adalah satu kesalahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *