7 Kaki Lalok Ditahan Di Ranau

Antara lelaki yang ditahan dalam Op Ice Breaker di Kampung Lohan, Ranau semalam. Foto Ihsan PDRM Recqueal Raimi

RANAU: Tujuh lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Kampung Lohan di Ranau, semalam.

Serbuan Op Ice Breaker itu bermula pada 11 pagi hingga 5 petang di lokasi dipercayai sarang penagih itu dijalankan pasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton yang mengesahkan laporan itu berkata, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 1.05 gram dianggarkan bernilai RM350 mengikut harga pasaran.

“Empat suspek ditahan kerana memiliki dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tiga lagi suspek ditahan kerana positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 30 tahun sehingga 40 tahun itu kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga 14 Januari.

“Orang awam diminta bekerjasama menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan dadah dan jenayah lain di daerah ini.

“Identiti pemberi maklumat tidak akan didedahkan dan pihak polis bersedia membantu demi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Harian Metro

3152