Jangan Kembali Rejim Rasuah Di Kimanis – Muhyiddin

BONGAWAN: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Sabah bahawa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bermakna menghidupkan kembali rejim yang selama ini merosakkan negara.

Beliau berkata, jika BN diberi peluang berkuasa kembali bermakna amalan salah guna kuasa dan rasuah yang diamalkan pemimpin-pemimpinnya akan melanda negara sekali lagi dan menghancurkan segala baik pulih yang sedang dilakukan kerajaan sekarang.

Tegasnya, disebabkan amalan itulah rakyat telah menolak BN dalam pilihan raya umum lalu, justeru tiada sebabnya BN harus diberikan kembali peluang untuk memerintah negara ini.

“Dalam tempoh-tempoh yang mutakhir, disebabkan kerakusan kuasa, disebabkan kerana yang mereka mahu adalah duit mereka mahu hidup mewah mereka sudah lupa apakah tanggungjawab mereka sebagai pemimpin parti dan kerajaan, salah guna kedudukan, mereka telah samun harta rakyat.

“Sebab itulah rakyat seluruh Malaysia bangkit termasuk di Sabah untuk menolak BN, persoalannya di PRK ini kita berdepan BN, soalan mudah saya nak tanya pengundi di Kimanis apakah kita mahu kembalikan seorang mansuia yang berteraskan BN untuk mewakili saudara-saudara, pasti kita tidak mahu,” katanya ketika berucap dalam ceramah di Pekan Bongawan malam tadi.

Muhyiddin berkata, rakyat tidak harus membiarkan sejarah hitam yang menyebabkan Malaysia dikenali sebagai negara yang terbabit dalam amalan rasuah berulang kembali selepas ini.

Beliau berkata, dalam PRK KImanis rakyat mempunyai pilihan untuk memilih wakil rakyat, namun amat jelas pengundi harus memilih calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bukannya pemimpin daripada parti yang telah terpalit dengan rasuah dan keburukan.

Jelasnya, Warisan mempunyai visi yang sama dengan Kerajaan Persekutuan iaitu memastikan rakyat Sabah terbela dan hak-hak mereka terus diperjuangkan bukannya diabaikan atau disamun oleh pemimpin yang diberikan kuasa.

“Sebab itulah situasi PRK yang sedang kita hadapi sekarang ini ujian yang dihadapi saudara-saudara yang jadi pengundi di sini ialah untuk membuat pilihan, pilihan apa, siapa yang layak mewakili saudara-saudara untuk menyuarakan masalah sebagaimana yang telah disebutkan.

“Bagaimana caranya untuk melengkapkan seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, bukan wakil rakyat daripada parti yang sudah terpalit dengan masalah-masalah, skandal yang cukup besar sekarang ini pun dibicarakan di mahkamah belum selesai satu perkara timbul cerita lain,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *