PSS Bukan Beri Kewarganegaraan Kepada Warga Asing

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas program bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Masyarakat Papar, hari ini. – Foto Facebook Azis Jamman

PAPAR: Kementerian Dalam Negeri menegaskan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijadikan isu pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, tiada kaitan dengan soal kewarganegaraan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan PSS tertakluk kepada undang-undang imigresen, sedangkan aspek kewarganegaraan termaktub dalam undang-undang berkaitan kewarganegaraan mengikut perlembagaan negara.

Katanya, tiada cara yang membolehkan pemegang kad PSS menggunakan dokumen itu bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan atau disalah guna untuk apa sahaja tujuan termasuk bagi mendapatkan hak sama seperti dinikmati warga negara.

“Ini tak ada kaitan dengan soal kewarganegaraan yang hangat dibincang, dijadikan bahan politik dan dibahas oleh pembangkang yang dahulunya mereka adalah kerajaan. Dia takut ini satu langkah pertama untuk memberi kewarganegaraan. Ia isu yang berbeza, tiada kaitan dengan ini.

“Kewarganegaraan di bawah undang-undang kewarganegaraan Perlembagaan Malaysia sedangkan ini (PSS) tak ada membabitkan perlembagaan. Ini dari segi undang-undang imigresen, sebab tak boleh biarkan orang tiada dokumen.

“Sedangkan rakyat Sabah pun ada rekod imigresen juga, apa lagi orang datang dari luar seperti Filipina dan Indonesia. Orang di Sabah lebih tahu perkara ini bahawa semua orang mesti ada rekod,” katanya pada sidang media selepas program bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pelbagai tuduhan pembangkang yang mendakwa PSS adalah kaedah untuk menjadikan warga asing yang sudah lama berada di negeri ini sebagai warga negara.

PSS adalah dokumen baharu yang akan dikeluarkan kepada warga asing memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci, mulai 1 Jun depan dengan jumlah keseluruhan berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Ketua Menteri Sabah, sebanyak 136,055 orang.

Muhyiddin turut membidas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menafikan cadangan PSS pernah disuarakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau menjelaskan, berdasarkan rekod kementeriannya, cadangan itu bermula dengan pengeluaran pas dipanggil Pas Residen yang dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa induk pengurusan warga asing bilangan dua pada 2015, ketika era kerajaan BN.

“Ia dipersetujui setiausaha kerajaan negeri Sabah pada 31 Julai 2015 yang mana keputusan dalam mesyuarat itu mengatakan Pas Residen yang diberikan kepada pemegang IMM13, Kad Burung- Burung dan Sijil Banci. Ini oleh pentadbiran lalu.

“Keduanya prosedur operasi standard (SOP) Pas Residen yang disediakan ini perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan keupayaan pemohon, ketiganya jawatankuasa khas ini ditubuhkan untuk meneliti keseluruhan aspek bagi cadangan pemeluasan kad residen yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri lalu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

“Kemudian, cadangan dasar Pas Residen Sementara Sabah (PRESS) dibentang dan dipersetujui dalam mesyuarat majlis jawatankuasa pada 15 Februari 2016 selepas mesyuarat peringkat pegawai,” katanya.

Cadangan itu kemudian dibentang ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan warga asing Sabah bilangan satu 2016 pada 16 Mei 2016 yang dipengerusikan Ahmad Zahid yang ketika itu Menteri Dalam Negeri bersama Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Musa Aman.

Muhyiddin berkata, selaras peralihan kerajaan pada 2018, perkara itu diteliti semula dan dibentangkan balik sebelum pihaknya bersetuju untuk mengkaji dan menelitinya semula secara mendalam dan dibuat penambahbaikan.

“Ia kemudian dibentang dalam mesyuarat jawatankuasa induk pada 6 September 2019 dan mesyuarat bersetuju dengan pelaksanaan PSS kepada pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci mulai 1 Jun 2020,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *