Perdana Menteri Pangku Jawatan Menteri Pendidikan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, perkara itu diputuskan Kabinet pada mesyuarat Rabu lalu.

“Dr Mahathir akan memangku jawatan itu sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kabinet pada mesyuarat hari berkenaan memutuskan pemangku bagi jawatan Menteri Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan itu minggu lalu dan perkara itu akan diumumkan Dr Mahathir.

Maszlee yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir dalam satu pertemuan sehari sebelum itu.

Maszlee berkata, peletakan jawatan itu dibuat selepas beliau dilihat banyak menimbulkan krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan program sarapan percuma.

Berita Harian

806