Selepas ‘Matahari Cincin’, Giliran Gerhana Bulan Penumbra ‘Muncul’ Awal Pagi Esok

Selepas gerhana matahari cincin dan hujan meteor, rakyat Malaysia juga berpeluang menyaksikan Fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku pada 11 Januari 2020, esok.

Menurut laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor, gerhana bulan wujud apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Kejadian ini cuma boleh berlaku ketika bulan purnama dan apabila matahari, bumi dan bulan berada pada satu garisan yang sama. Ia berlaku apabila bumi menghalang cahaya matahari dari jatuh ke atas bulan.

Dalam kajian ahli falak, gerhana merupakan salah satu fenomena penghijaban (occultation).

Ketika gerhana bulan, kesan gelap yang wujud pada permukaan bulan adalah kesan dari bayang bumi yang jatuh ke atas bulan.

Namun bayang bumi wujud dalam dua bentuk. Pertama ialah bayang umbra (Dzil) dan kedua ialah bayang penumbra (Syibhu Dzil).

Umbra merujuk kepada bahagian paling dalam dan paling gelap dari bahagian bayang. Dalam konteks gerhana bulan, bayang umbra akan menyebabkan pencerap akan melihat kesan gelap yang lebih ketara. Ketika bulan memasuki bayang umbra, cahaya bulan akan merosot hingga bulan akan bertukar sama ada menjadi hitam, merah atau oren.

Penumbra pula merujuk kepada bayangan luar bayang bumi, di mana bayang penumbra yang wujud adalah lebih cerah berbanding bayang umbra. Dalam erti kata lain ia adalah bahagian yang berlawanan dengan bahagian umbra.

Ketika ini pula, umumnya cahaya bulan akan turut merosot, namun ia kurang dikenalpasti berbanding ketika memasuki bayang umbra. Realitinya, mata kasar manusia sukar atau hampir mustahil untuk melihat perubahan kecerahan bulan yang memasuki bayang penumbra.

Ketika Gerhana Bulan Penumbra berlaku pada 11 Januari 2020 ini, kedudukan bulatan piring bulan hanya memasuki bayang penumbra bumi tanpa menyentuh bayang umbra bumi. Bulan akan mula merentasi bayang penumbra bermula jam 01.07 pagi.

Bulan akan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra pada jam 05.12 pagi. Magnitud maksimum gerhana penumbra kali ini hanya mencapai -0.896 pada jam 03.10 pagi.

Fenomena yang berlaku adalah bulan hanya akan memasuki bayang penumbra pada 89.6% sahaja sebelum keluar semula.

Bagi umat Islam, solat gerhana sunat dilaksanakan ketika berlakunya gerhana. Para ulama telah sepakat meletakkan syarat bahawa solat gerhana hanya akan dilaksanakan ketika jelas kesan gelap di bulan. Namun Gerhana Bulan Penumbra yang akan berlaku pada 11 Januari ini, tidak mudah untuk dikenal pasti oleh mata kasar. Ini kerana bulan akan hanya memasuki bayang penumbra yang agak kabur, tanpa menyentuh bayang umbra yang lebih gelap. Apatah lagi tanpa bantuan dan rujukan kepada hisab yang disediakan terlebih dahulu, sukar untuk diketahui.

Walaupun dari sudut ilmu falak ia dinamakan gerhana, namun kerana syarat gelap yang nyata itu tidak dipenuhi, maka solat gerhana tidak disyariatkan. Permukaan bulan hanya akan mengalami sedikit perubahan warna dari putih bersinar ke warna putih suram, malah pencerap mungkin keliru dengan warna bulan yang kelihatan malap, hingga disangka perubahan cahaya bulan yang berlaku hanyalah kerana wujudnya awan.

Orang ramai juga boleh menyaksikan gerhana bulan ini secara ‘live’ di Facebook Planetarium Negara yang akan bermula pada pukul 1 pagi.

Sumber: Planetarium Negara

28343