Video Tular Bukan Situasi Sebenar – Karim Bujang

KIMANIS: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mengakui wujud salah faham antara seorang penduduk dengan dua pemimpin akar umbi sehingga berlaku sedikit pertengkaran antara mereka ketika melawat kawan lamanya di Pusat Daerah Mengundi Bandau, Membakut semalam.

Karim berkata, dalam insiden tersebut, beliau berusaha menenangkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Pinor Kuibi seperti yang dirakam di dalam sebuah video berdurasi 28 saat, namun ditularkan seolah-olah lelaki itu memarahinya.

Katanya, pertengkaran itu hanya sekejap dan berjaya dikawal sebelum beliau meneruskan kunjungan ke rumah lelaki itu untuk berjumpa dengan ahli keluarganya termasuk ibu bpanya yang kurang sihat.

“Lelaki itu sebenarnya memarahi dua pemimpin akar umbi yang berada bersama saya pada ketika itu, lelaki berkenaan mendakwa dua pemimpin berkenaan tidak membayar elaunnya semasa dia diarahkan bekerja dalam pilihan raya umum lepas.

“Oleh itu, saya cuma ingin memberi peluang kepada lelaki itu untuk memberi penerangan, namun dia dengan suara yang agak tinggi memarahi kedua-dua pemimpin akar umbi yang didakwa tidak membayar elaunnya,” katanya dalam sidang media di Pejabat Warisan Bahagian Kimanis.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai video itu yang tular dan menunjukkan seolah-olah lelaki tersebut sedang memarahinya.

Karim berkata, tiada perkara yang harus diperbesarkan kerana insiden itu cuma salah faham melibatkan dua pihak dan beliau selaku orang tengah hanya cuba meleraikan ketegangan yang berlaku.

Katanya, beliau sendiri mangsa keadaan dan agak terkejut apabila niat untuk melawat ibu bapa lelaki itu bertukar menjadi situasi tegang apabila lelaki berkenaan tiba-tiba marah.

“Namun, saya berasa lega kerana dua pemimpin akar umbi itu hanya berdiam diri dan tidak termakan provokasi sebegitu. Mereka tidak memberi sebarang respon.

“Saya percaya jika mereka memberi respons, mungkin akan ada pertengkaran dan pergaduhan. Tapi pergaduhan berjaya dielakkan,” jelasnya.

Katanya, lelaki berkenaan juga menasihatkannya agar tidak percaya dengan kedua-dua pemimpin akar umbi sedemikian.

Karim berkata, selepas insiden itu beliau tetap meneruskan sesi lawatan ke rumah lelaki berkenaan bagi menziarahi ibu bapanya yang sakit tua.

Menurutnya, bapa lelaki itu, iaitu Kuibi merupakan kawan lamanya, justeru apabila dimaklumkan isteri rakannya iaitu, Bonong Matajim sedang sakit beliau segera menziarahi mereka.

Tambahnya, kejadian sebenar boleh dilihat menerusi gambar lawatan beliau ke rumah ibu bapa lelaki berkenaan kerana video tersebut tidak menceritakan keseluruhan apa yang telah berlaku.

“Biarlah gambar menceritakan keadaan sebenar. Apabila video itu viral saya sebagai seorang yang profesional perlu bijak menepis berita yang tidak benar.

Saya rasakan ini sebahagian daripada asam garam kehidupan dan tiada apa yang patut dibimbangkan,” ujarnya.

Sementara itu semalam, turut tular beberapa gambar yang menunjukkan lelaki sama sedang memegang bendera Barisan Nasional (BN) sehingga menimbulkan persoalan sama ada insiden itu sengaja dicetuskan untuk menjejaskan imej Warisan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *