Indeks jenayah Sabah Turun 6.88 Peratus

KOTA KINABALU, 7 Jan: Indeks jenayah di Sabah sepanjang 2019 menurun sebanyak 6.88 peratus iaitu kepada 5,747 kes berbanding 6,144 kes dalam tempoh sama pada 2018.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata sebanyak 62.50 peratus kes jenayah berjaya diselesaikan sepanjang tahun lepas.

“Peratusan penyelesaian kes berkenaan telah meletakkan Sabah pada kedudukan keenam dalam ranking penyelesaian kes jenayah di seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi kegiatan perjudian, sebanyak 1,363 serbuan telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas dengan jumlah tangkapan seramai 1,879 orang dan melibatkan rampasan wang tunai sebanyak RM545,664.

“Pembanterasan kegiatan maksiat atau pelacuran pula merekodkan sebanyak 113 serbuan sepanjang tahun lepas melibatkan 241 tangkapan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya terus berusaha membanteras kes senjata api buatan sendiri atau ‘bakakuk’ di Sabah.

“Dengan usaha keras dan kerjasama semua pihak kita berjaya merampas sebanyak 62 laras bakakuk dan menangkap 113 orang yang terlibat dengan sanjata api berkenaan.

“Sebanyak 29 kes telah dituduh di mahkamah dan 28 kes lagi masih dalam tindakan,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *