TAWAU, 6 Jan: Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (Protect) semalam menahan sepasang suami isteri warga Indonesia di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit berhampiran Luasong, kira-kira 70 kilometer dari Tawau, kerana memiliki empat gading gajah.
Lelaki berumur 48 tahun yang bekerja di ladang berkenaan serta memiliki pas pekerja itu ditahan pada 1.30 tengah hari bersama isterinya berumur 50 tahun yang tidak memiliki pas pekerja.
Dalam operasi 7 pagi itu, Pasukan Protect menyerbu rumah suspek dan menemukan empat batang gading gajah seberat 2 hingga 2.5 kilogram yang disorokkan di dalam almari di sebuah bilik rumah suspek berkenaan.
Pasangan berbangsa Timor itu mengakui gading berkenaan milik mereka yang dibeli dengan harga RM1,500 hingga RM2,000 setiap satu pada tahun lepas.
Suspek mengakui gading itu untuk dijual di Indonesia dengan harga lebih mahal dan kes itu kemudian diserahkan kepada Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Jaini, mengesahkan tangkapan berkenaan dalam satu kenyataan di sini, dan menyifatkan tindakan itu bukti komitmen Jabatan Perhutanan serius memerangi pembunuh gajah.
“Siasatan sedang dilakukan terhadap maklumat yang diterima terhadap penglibatan pihak pengurusan ladang yang terlibat dengan pemburuan haram dan akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya maklumat dan bukti mencukupi,” katanya.
Tegas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar serta agensi lain untuk menjejak penjenayah yang mengancam khazanah negeri.
“Pemilik atau majikan mana-mana ladang kelapa sawit dinasihat memastikan pekerjanya tidak terlibat dengan aktiviti pemburuan terutamanya di kawasan Benta Wawasan dan Serijaya dekat sini,” katanya.
Sementara itu, pada hari sama, Protect turut merampas 21 ekor burung murai batu yang dipelihara tanpa permit oleh seorang pekerja ladang berumur 40-an serta merampas beberapa lembing, dua pucuk senjata guli dan dua pucuk senapang patah buatan sendiri (bakakuk).
Protect bertindak melepaskan semua burung dan senjata diserahkan kepada polis, selain pekerja ladang terbabit diberi amaran dan dinasihatkan memohon permit daripada Jabatan Hidupan Liar untuk memelihara haiwan berkenaan.
BERNAMA