“Itu Gambar Saya Bersedekah Di Masjid Sandakan”… Shafie Selar Tindakan Pembangkang Guna Taktik Kotor

Gambar yang tular, Shafie berada di Sandakan pada 03 Januari dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Datuk Pangeran Galpam.

KOTA KINABALU: Tindakan pihak pembangkang memanipulasi gambar Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersedekah kepada orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Datuk Pangeran Galpam Sandakan, Jumaat lalu adalah taktik kotor.

Shafie menyelar tindakan berkenaan kerana sudah menjadi kebiasaan kepadanya untuk bersedekah setiap kali berjumpa rakyat terutama di masjid.

Beliau bagaimanapun tidak menyangka perbuatannya itu dijadikan taktik kotor dan bahan kempen pembangkang kononnya kejadian itu berlaku semasa tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang sedang berlangsung.

“Saya semasa berada di Sandakan dan bersekali dengan Lim Guan Eng setelah merasmikan Lapangan Terbang Sandakan lepas itu tidak sempat, saya menunaikan solat di Sandakan.

“Bila menunaikan solat saya bagilah sedekah sikit kepada penduduk-penduduk kampung di situ kerana saya tahu mereka berhadapan dengan masalah, itu bukan di Kimanis itu di Sandakan.

“Jadi bukanlah tujuan kita bagi sedekah mahu mengundi, orang Sandakan bukan mengundi di Kimanis,” katanya ketika diminta mengulas tentang penyebaran gambar berkenaan selepas hadir pada Majlis Jasamu Dikenang Sempena Persaraan Mantan Setiausaha Tetap (SUT) Kewangan Datuk Bahari Haji Hassan dan Selamat Bertugas kepada SUT Kewangan yang baharu Datuk Haji Kaim Kalimin, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun PRK Parlimen Kimanis sedang berlangsung, kerajaan tidak perlu menghentikan pemberian bantuan kepada rakyat terutama di kawasan lain kerana itu adalah tanggungjawab yang dipikul.

1164