Lebuhraya Pan Borneo Sabah Diteruskan – Shafie

MEMBAKUT: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memberi jaminan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan diteruskan menggunakan pendekatan dan formula baharu.

Katanya, struktur baharu bagi mengurus pembinaan lebuh raya bernilai berbilion ringgit itu akan mengurangkan kos pelaksanaan projek.

“Projek masih diteruskan tetapi kita mahu menjimatkan wang. Kerajaan membelanjakan RM26 juta ketika projek itu diurus rakan penyampai projek (PDP).

“Sehingga kini, kita membelanjakan RM900 juta untuk pampasan tanah tetapi jalannya belum kelihatan,” katanya pada program sambutan Krismas dan Tahun Baharu, di sini.

Mohd Shafie mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai pembatalan PDP yang menyebabkan projek itu terhenti.

Najib turut mendakwa keputusan itu menyebabkan Kimanis berdepan masalah perhubungan dan kurang kemajuan.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata projek akan diurus badan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri dan merangkumi wakil daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Kerja Raya negeri dan persekutuan.

Katanya, keputusan membatalkan PDP juga berdasarkan pertimbangan syarikat perunding dimiliki ahli parti politik.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony, berkata kerajaan dapat menjimatkan lebih RM1 bilion selepas Kerajaan Persekutuan menghentikan syarikat PDP.

Beliau turut menyangkal kenyataan Najib bahawa Lebuhraya Pan Borneo adalah hadiah daripada kerajaan sebelum ini kepada rakyat Sabah.

“Hasil dari Sabah dibawa ke Kuala Lumpur. Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan membina jalan raya di Sabah, bukannya diberi sebagai hadiah,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *