SANDAKAN: Penerbangan tambahan sempena Tahun Baharu Cina dari Kuala Lumpur ke Sandakan dan Tawau dilihat akan membolehkan lebih masyarakat berasal dari Sandakan dan Tawau dapat pulang ke kampung halamna masing-masing.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, satu penerbangan tambahan setiap hari oleh Syarikat Penerbangan AirAsia itu akan membolehkan lebih ramai rakyat Sabah yang bertugas di Semenanjung Malaysia pulang ke Sandakan dan Tawau bagi meraikan perayaan itu.
Beliau berkata, pakej penerbangan tambahan itu akan dilancarkan pada 7 Januari ini sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Katanya, penerbangan tambahan itu tentunya akan membolehkan penumpang memperolehi tiket penerbangan pada harga yang lebih murah berbanding kebiasaannya.
Anthony berkata, penerbangan tambahan sebegitu akan turut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri serta perayaan-perayaan lain.
“Oleh itu, anak muda yang bekerja di Lembah Klang ambil peluang yang ada ini untuk balik ke Sandakan dan Tawau sempena Tahun Baharu Cina,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Pembesaran Landasan Lapangan Terbang Sandakan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal melihat penarikan semula nasihat perjalanan kepada pelancong China agar tidak berkunjung ke Sabah akan membantu meningkatkan lagi kemasukan pelancong China ke negeri ini.
Beliau berkata, Kedutaan China di Kuala Lumpur memaklumkan sudah menarik semula nasihat perjalanan yang menyatakan Sabah tidak selamat dikunjungi kerana ancaman penculikan.
Oleh itu, beliau telah menasihatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) agar memaklumkan kedutaan Amerika Syarikat, China dan Korea bahawa keselamatan Sabah terkawal.
Katanya, jika pelancong luar yakin dengan keselamatan di Sabah, itu akan membolehkan ekonomi di negeri ini terus membangun.
BorneoToday