Pegawai Kanan SPRM Ditempatkan Di Pejabat Ketua Menteri Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) bersama Pegawai SPRM yang ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Fuad Bee Basrah Bee ketika hadir di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. Turut hadir, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy (kiri). – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri dan Unit Integriti Jabatan Ketua Menteri, bermula hari ini.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, berkata Sabah negeri pertama yang melaksanakan insiatif menempatkan pegawai SPRM di Pejabat Ketua Menteri.

“Penempatan pegawai di Pejabat Ketua Menteri keputusan yang diambil SPRM, khususnya Ketua Pesuruhjaya, Latheefa Koya dan Sabah negeri pertama yang menempatkan seorang pegawai di Pejabat Ketua Menteri, manakala seorang lagi pegawai ditempatkan di Unit Integriti Jabatan Ketua Menteri.

“Usaha ini lebih untuk membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan integriti penjawat awam supaya ada unsur ‘check and balance’ dalam pentadbiran kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Karunanithy berkata, dua pegawai itu ditempatkan selama tiga tahun mengikut kontrak.

“Mereka akan berada di Pejabat Ketua Menteri selama tiga tahun dan selepas itu akan dilihat prestasi. Sekiranya bagus, terpulang pada kerajaan negeri untuk menyambung kontrak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai SPRM yang ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Fuad Bee Basrah Bee, berkata tugas mereka di pejabat itu untuk mempromosi urus tadbir terbaik dan integriti dalam kalangan penjawat awam.

“Ini bagi memastikan imej yang baik kepada kerajaan negeri Sabah. Skop tugas kita lebih kepada pencegahan dan usaha untuk mempertingkat integriti,” katanya.

Berita Harian

808