Ambang 2020: Warga KK Dinasihat Tidak Terlalu Ghairah Sambut Tahun Baharu

Habibi Majinji

KOTA KINABALU, 27 Dis: Masyarakat di bandar raya ini dinasihatkan supaya tidak terlalu berlebihan ketika menyambut ambang Tahun Baharu 2020 sehingga boleh mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam terutama di kawasan tumpuan orang ramai seperti Tanjung Lipat dan pusat bandar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata semua masyarakat juga perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati bagi mengelak daripada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Saya menasihatkan masyarakat setempat supaya jangan terlalu teruja dan berlebihan sehingga menimbulkan kekacauan serta mengganggu orang sekeliling.

“Polis Kota Kinabalu telah bersedia memantau segala acara dan majlis diadakan sepanjang sambutan ambang tahun baru nanti. Anggota bertugas juga mencukupi dan semoga semua berada dalam keadaan terkawal,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Habibi berkata IPD Kota Kinabalu akan mengadakan KK Cops Night Run di Stadium Likas pada 7.30 malam, 4 Jan.

Terdapat dua kategori dipertandingkan masing-masing Competitive Run (10km) serta Fun Run (7km dan 5km), katanya.

“Kira-kira 5,000 orang dijangka menyertai larian ini dan setakat ini hampir 4,000 sudah mendaftar,” katanya dan menambah serentak dengan program itu, konsert menampilkan persembahan beberapa artis tempatan turut diadakan sehingga 11 malam.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *