Lelaki Lakukan Aksi ‘Wheelie’ Di Putatan Kena Penjara 14 Bulan

Adzrul (tengah) dengan Firdaus (kanan) selepas keputusan kes.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang didapati bersalah menunggang sebuah motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi “wheelie” di jalan raya, dipenjara 14 bulan dan didenda RM5,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Afiq Agoes menjatuhkan hukuman itu kepada Adzrul Adzman, 21, dengan penjara bermula dari tarikh pensabitannya, dengan keputusan kesnya sebelum ini ditetapkan pada Khamis. 

Tertuduh diminta untuk membela diri bulan lepas apabila pendakwaan mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Adzrul meminta dibicarakan bagi tuduhan melakukan kesalahan itu di Jalan Kota Kinabalu – Papar dekat JKR Putatan pada pukul 1.20 pagi 12 Ogos 2018.

Kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa trafik Inspektor Mohd Firdaus bin Che Mustafa membawa lima saksi untuk perbicaraan kes Adzrul.Peguam Michelle Rosanna Usman mewakili tertuduh.

Dalam menyampaikan penghakiman bertulisnya, Afiq berkata tertuduh didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi “wheelie” di jalan raya tanpa mengendahkan keselamatan sendiri dan pengguna jalan lain, serta menimbulkan bahaya kepada orang awam.

Afiq berkata, satu dakwaan tertuduh bahawa dia sedang membaik pulih motosikal itu dan mengujinya di jalan raya, adalah diragukan dan tidak munasabah.

Katanya, dia ragu-ragu dan bimbang kenapa tertuduh perlu menguji motosikal itu, yang didakwanya sudah dibaiki, di kawasan terbuka jalan pada pukul 1.20 pagi.

Michelle memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya yang mempunyai anak berusia lima tahun dan mempunyai pekerjaan baharu, tidak menyebabkan kecederaan kepada orang lain dan tidak ditangkap bersama yang lain.

Dia berkata anak guamnya direman tujuh hari dan mengalami trauma.

Dengan itu, dia percaya bahawa hukuman penjara tidak sesuai dan berharap mahkamah akan menimbang khidmat masyarakat bagi anak guamnya sebagai hukuman kerana dia berhak mendapat peluang kedua.

Firdaus memberitahu mahkamah bahawa tertuduh melakukan aksi “wheelie” di mana tertuduh memang perlu mengambil kira keselamatan dan kepentingan awam.

Dia berkata tertuduh mempunyai satu rekod lampau pada Jun tahun lepas di bawah Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana dia mengaku bersalah menyertai satu lumba haram dan tertuduh didenda RM1,500 atau penjara tujuh hari.

Dengan itu, Firdaus berharap mahkamah akan menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain yang mungkin melakukan kesalahan sama.

Sumber: Harian Ekspres

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *