
KUDAT: Tiga keluarga kehilangan tempat berteduh apabila kediaman mereka di Kampung Gombizau, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Semua mangsa sempat menyelamatkan diri sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, pada pukul 11.30 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata sebaik menerima panggilan kecemasan itu, pasukan bomba diketuai Mohd Saidi Tabin bersama enam anggota BBP Kudat dengan menggunakan dua jentera bergegas ke lokasi kebakaran.
“Pasukan bomba mengambil masa selama 34 minit untuk sampai ke lokasi dan seterusnya memadam kebakaran hingga terkawal pukul 12.10 tengah malam.
“Kebakaran membabitkan tiga rumah yang musnah sepenuhnya. Operasi memadam tamat pada pukul 1.39 pagi,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, kebakaran tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Tambahnya lagi punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. –

SabahNewsToday