Penunggang Motosikal Nyaris Maut Langgar Lampu Isyarat

Orang ramai membantu penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan itu.

TAWAU: Akibat melanggar peraturan lampu isyarat membawa padah kepada seorang penunggang motosikal yang cedera selepas melanggar sebuah motokar di Batu 3 Jalan Apas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kemalangan berlaku pada jam 7.50 malam sebelum pihaknya menerima laporan daripada bilik gerakan IPD Tawau pada jam 9.36 malam.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa dalam perjalanan daripada bandar Tawau melalui Jalan Apas manakala pemandu warga emas dari Jalan Apas menghala ke Taman Megah Jaya,” katanya dalam kenyataan medianya, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa tidak berhenti di lampu isyarat walaupun dalam keadaan lampu merah untuk memberi laluan kepada kenderaan yang ingin membuat pusingan ‘U’ dan memasuki simpang Megah Jaya.

“Mangsa yang menunggang laju melalui laluan kiri lorong khas untuk kenderaan yang datang dari arah bandar tiba-tiba melanggar kenderaan dari arah hadapan sisi kiri motokar.

“Impak kemalangan itu penunggang terseliuh bahu kanan dan motosikalnya remuk di bahagian hadapan manakala kenderaan warga emas mengalami kerosakan di bahagian hadapan sisi kiri termasuk bahagian tayar sebelah kiri,” katanya.

Peter berkata, hasil pemeriksaan penunggang motosikal terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan lesen menunggang motosikal manakala kes disiasat mengikut Undang-undang 10 LN166/59.

Utusan Borneo

209