Video Rusuhan Tular, Polis Tahan Tujuh Lelaki

Video memaparkan pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Chen Fook Tawau

TAWAU: Polis menahan tujuh lelaki dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan menggunakan senjata di sebuah kedai makan Jalan Chen Fook, di sini semalam.

Video pergaduhan berdurasi satu minit 48 saat itu turut tular di laman sosial Facebook sejak semalam dan menerima 1,300 perkongsian serta 45,000 tontonan.

Difahamkan kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11 malam ketika sekumpulan suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 31 tahun menjerit-jerit sambil berlari menuju ke sebuah kedai makan.

Pergaduhan kemudian tercetus namun pihak polis yang menjalankan tugas operasi di kawasan berkenaan bertindak menahan suspek.

Sumber turut berkata beberapa individu turut bertindak melarikan diri menaiki dua kenderaan jenis Honda dan Perodua Myvi namun berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kesemua suspek berjaya diberkas. Empat daripada tujuh suspek yang ditahan mengalami kecederaan di bahu dan putus jari, luka di bahu dan siku, serta cedera di kepala akibat ditetak.

“Turut dirampas dua keris, parang dan samurai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata punca pergaduhan akibat perselisihan faham namun pihaknya masih meneruskan siasatan ekoran masih ada suspek yang sedang diburu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *