Bot Kastam Ditembak: Angkara Kumpulan Penyeludup Rokok Dan Minyak

Bot Jabatan Kastam yang ditembak oleh kumpulan penyeludup dalam kejadian berbalas tembakan dekat pulau Mataking, Semporna. – Gambar Ihsan Esscom

KOTA KINABALU: Bot Pemintas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dinaiki seorang pegawai kanan bersama empat anggotanya dipercayai ditembak ketika membuat risikan membabitkan aktiviti penyeludupan rokok dan minyak di perairan Pulau Mataking, Semporna.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata bagaimanapun semua mereka yang berada di atas bot kastam tidak mengalami kecederaan.

Lokasi kejadian berbalas tembakan pegawai JKDM dan kumpulan penyeludup. – Gambar Ihsan Esscom

“Kita percaya kejadian itu dilakukan oleh kumpulan penyeludup membabitkan rokok dan minyak. Pasukan keselamatan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejadian pukul 5.30 petang semalam itu berlaku ketika bot kastam dinaiki seorang pegawai kanan dan empat anggota JKDM dikatakan menuju ke perairan Semporna untum menjalankan risikan ke atas maklumat penyeludupan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka dikatakan mengesan sebuah bot laju memecut laju keluar dari kawasan Pulau Mataking lalu mengejarnya untuk pemeriksaan.

Ketika cuba memintas, bot laju dinaiki sekumpulan lelaki lengkap bersenjata berhenti lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot Kastam pada jarak 200 meter.

Pegawai dan anggota kastam turut membalas tembakan sebelum bot laju itu memecut laju ke arah perairan antarabangsan Filipina.

Difahamkan, semua mereka termasuk pegawai kanan Jabatan Kastam cawangan Lahad Datu diambil keterangan oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *