Lori Balak Dilarang Beroperasi Di Long Pasia Hingga 3 Januari

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh (tengah) ketika membincangkan kegiatan pembalakan dan masalah jalan rosak di Long Pasia. – Gambar Ihsan Polis

SIPITANG: Lori balak tidak dibenarkan beroperasi di kawasan Long Pasia, dekat sini, sepanjang musim hujan dan sambutan Krismas bermula Isnin lalu hingga 3 Januari depan.

Keputusan itu dibuat susulan isu jalan rosak di Long Pasia yang dibincangkan pada mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan, Champin Piuh, berkata mesyuarat dibuat bersama pelbagai agensi bagi membincangkan kegiatan pembalakan dan masalah jalan rosak di Long Pasia.

“Pada mesyuarat itu, beberapa perkara diputuskan, antaranya lori balak tidak dibenarkan beroperasi sepanjang musim hujan dan sambutan Krismas.

“Justeru, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi berkaitan dikehendaki memantau aktiviti pembalakan serta sebarang kerosakan jalan raya bukan saja di Long Pasia tetapi juga di lokasi lain sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat Sabah Forest Industries (SFI) turut diminta memotong pokok di tepi jalan raya kawasan perindustrian itu untuk tujuan pencahayaan.

“Ia bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini seperti kemalangan, terutama pada musim perayaan dan keadaan cuaca yang kurang baik ketika ini,” katanya sambil memaklumkan mesyuarat terbabit berjalan lancar.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *