Peter Cadang Bina Terowong Tangani Tanah Runtuh Di Sabah

PAPAR: Kementerian Pembangunan Infrastruktur akan mengenal pasti kaedah lain termasuk pembinaan terowong di kawasan lereng bukit bagi mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Sabah pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, kaedah menggunakan terowong dilihat tidak akan mengganggu struktur tanah di kawasan lereng bukit.

Beliau berkata, apa yang berlaku di Jalan Kundasang-Ranau pada ketika ini disebabkan oleh pemotongan bukit untuk kegiatan pertanian dan perumahan menyebabkan struktur tanah terganggu hingga mengakibatkan berlaku mendapan tanah.

Katanya, di peringkat kementerian, mereka akan cuba mengenal pasti kaedah terbaik dalam memastikan kejadian tanah runtuh di kawasan berbukit dapat dielakkan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Peter memuji tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berjaya melakukan kerja pembersihan dan pembinaan jalan alternatif dalam tempoh dua hari di kawasan jalan terputus itu.

“Jalan Kundasang-Ranau itu sudah boleh digunakan dalam tempoh kurang dua hari. Begitu juga dengan Jalan Tamparuli-Kiulu yang boleh diguna semula dalam tempoh kurang 12 jam,” katanya ketika ditanya mengenai langkah kementerian dalam menangani masalah tanah runtuh di Sabah.

Beliau juga mengingatkan Majlis Daerah Ranau supaya membuat pemantauan dengan rapi supaya tiada lagi kejadian tanah runtuh disebabkan aktiviti pemotongan bukit berlaku di kawasan bukit.

Katanya, pihak majlis daerah perlu memastikan tiada pihak yang cuba membuat kerja-kerja pertanian dan perumahan di kawasan bahu jalan di jalan-jalan di Ranau.

Peter juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan bukit terutama pada waktu malam dan semasa musim hujan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *