Penghargaan Kepada Belia Mengharumkan Nama Sabah, Negara – Phoong

KOTA KINABALU, 12 Dis: Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan memberi penghargaan kepada belia yang telah mengharumkan nama negara, khususnya Sabah dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Menterinya Phoong Jin Zhe berkata penghargaan berkenaan adalah penting untuk menghargai sumbangan mereka sekaligus meningkatkan lagi semangat mereka untuk terus bergiat aktif dalam bidang yang diceburi.

“Saya lihat ramai belia di negeri ini yang telah mencapai banyak kejayaan di luar negara tidak kira ia adalah bidang sukan atau bidang lain seperti tarian atau nyanyian. Oleh itu kita akan mengadakan satu majlis untuk meraikan mereka,” katanya dalam sesi townhall bersama persatuan belia di Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga akan memberi bantuan kepada belia yang akan mengikuti apa-apa pertandingan di luar Sabah dan luar negara.

“Sebelum ini pun saya telah membantu beberapa individu atau pasukan yang telah mengikuti pertandingan sukan di Semenanjung. Walaupun tidak banyak sekurang-kurangnya ia dapat meringankan perbelanjaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Phoong berkata kerajaan komited untuk terus memperkasakan pembangunan belia di Sabah.

“Kita akan memperbanyakkan kursus atau program seperti keusahawanan di seluruh Sabah untuk memperkasakan lagi ekonomi golongan belia.

“Oleh itu saya meminta persatuan-persatuan belia yang mahu menganjurkan sebarang kursus atau program berjumpa dengan saya,  kerana kementerian mempunyai peruntukan untuk sebarang program untuk memperkasakan belia di Sabah,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *