30 Nelayan Kampung Forest Terima Lesen Bot

Salah seorang nelayan menerima lesen bot yang disampaikan oleh Calvin.

SANDAKAN: Seramai 30 orang nelayan tempatan di Kampung Forest yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Elopura menerima lesen bot.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun menyampaikan lesen bot berkenaan kepada nelayan terbabit.  

Calvin berkata kebanyakan penduduk kampung yang rata-rata golongan nelayan tidak tahu cara memohon lesen berkenaan.

“Saya bersama kakitangan telah mengambil inisiatif dengan memberi bantuan kepada mereka bagi memohon lesen itu agar nelayan-nelayan ini mudah menjalankan rutin menangkap ikan semasa di laut,” katanya.

Beliau berkata semua tahu dimana rata-rata penduduk di Kampung Forest adalah bekerja sebagai nelayan.

“Lesen bot ini adalah amat penting agar mereka boleh keluar ke laut untuk mencari rezeki dengan mematuhi undang-undang,” katanya selepas menyampaikan lesen bot di Kampung Forest, semalam.

Calvin mendoakan agar mereka mendapat rezeki yang baik sekaligus dapat menyarakan hidup sekeluarga.

Dalam pada itu, Calvin berkata pihaknya sedang merancang khusus untuk mereka menimba ilmu pengetahuan dalam seni kraf tangan dan cara memasak yang enak.

“Matlamat saya adalah ingin merancakkan ekonomi penduduk kampung agar mereka juga dapat hidup dengan senang serta dapat meningkatkan ekonomi,” katanya.

Beliau juga terharu kerana anak-anak nelayan ini turut menolong ibu bapa mereka ke laut menangkap ikan dan menjual di pasar.

“Ini adalah satu nilai murni dan sikap yang harus kita pelajari meringankan beban ibu bapa semasa cuti sekolah ini,” katanya.

Calvin akan berusaha untuk membantu rakyat di kawasannya dan menunaikan amanat yang diberi oleh rakyat.

“Saya akan teruskan berjuang demi pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Elopura agar terus mendapat pembelaan dan permasalahan mereka didengari oleh kerajaan baharu,” katanya.

Utusan Borneo

385