4 Lokasi Positif Racun PSP Akibat Fenomena Air Merah Di Sabah

Tiga lagi kawasan perairan di sepanjang pantai barat bermula dari Kota Belud hingga di Kuala Penyu dikenal pasti positif toksin paralytic shellfish poisoning (PSP). – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Tiga lagi kawasan perairan di sepanjang pantai barat bermula dari Kota Belud hingga di Kuala Penyu dikenal pasti positif toksin paralytic shellfish poisoning (PSP).

Perkembangan terbaru itu berdasarkan ujian terhadap sampel kerang-kerangan yang diambil dari kawasan berkenaan pada minggu lalu.

Ia berikutan ledakan sejenis alga beracun dikenali sebagai Pyrodinium bahamense yang lebih dikenali sebagai fenomena air merah atau ‘red tide’ yang sebelum ini dilaporkan berlaku di perairan Purun Pasir dan muara Sungai Periuk-Periuk di Kuala Penyu.

Kawasan terbabit ialah perairan Kampung Binsulok di Membakut, Sungai Mengkabong di Tuaran dan Tanjung Dumpil di Putatan, menjadikan empat lokasi dicemari fenomena air merah setakat ini.

Penemuan toksin PSP di tiga lokasi terbabit adalah berdasarkan ujian sampel dalus dan tiram.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Unit Kesihatan Awam dan Red Tide, Kompleks Perikanan Likas, di sini, ujian turut dijalankan terhadap sampel kerang dari Teluk Ambong di Kota Belud dan tiram dari Trayong, Tuaran, namun didapati negatif toksin PSP.

Setakat ini, sebanyak tujuh ujian termasuk dua ujian terhadap sampel tuntul dan dalus dari Kampung Purun Pasir di Kuala Penyu dilakukan dengan lima daripadanya didapati positif toksin PSP.

Surat amaran larangan memakan kerang-kerangan yang dikutip dari perairan Purun Pasir dan muara Sungai Periuk-Periuk di Kuala Penyu, selain di Sungai Mengkabong sudah dikeluarkan sebagai peringatan kepada orang ramai.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong, memaklumkan berlaku ledakan alga beracun yang menyebabkan fenomena air merah dikesan di Kuala Penyu menjadi punca kerang-kerangan di Purun Pasir dicemari toksin PSP.

Berikutan itu, jelasnya semua jenis kerang-kerangan seperti tiram, dalus, remis dan kerang tidak selamat dimakan namun semua jenis ikan, udang, ketam dan sotong masih selamat tetapi perlu dicuci dengan bersih sebelum dimasak dengan insang dan organ dalamannya dibuang.

Gejala keracunan toksin PSP pada peringkat awal, mangsa akan terasa berdenyut pada bahagian bibir dan lidah pada masa 30 minit pertama. Mangsa juga akan terasa seperti dicucuk pin dan jarum pada kulit, selain terasa terapung atau mual.

Bagi kes yang teruk, mangsa akan kehilangan kawalan tangan dan kaki, mengalami kesukaran bernafas dan dalam kes yang yang sangat serius, kematian boleh berlaku dalam masa dua hingga 24 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan jantung tidak berfungsi.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *