
KOTA KINABALU: Empat sekeluarga terbabit kemalangan maut di New Zealand, Jumaat lalu selamat dikebumikan pada 12.30 tengah hari waktu tempatan atau 7.30 pagi hari ini, waktu Malaysia di Memorial Park Cemetery, Christchurch.
Jenazah Dr Rumihati Abdul Hamid, 49, suaminya Adenan Jeman, 49, serta dua anak mereka, Nur Irfan, 15, serta Nur Aleeyah Maisarah, 13, terdahulu disembahyangkan di Masjid Christchurch, New Zealand.

Abang allahyarham Dr Rumihati, Othman Abd Hamid bersama beberapa ahli keluarga turut sama menyertai solat jenazah selain Persatuan Muslim Centerbury dan komuniti masjid setempat.
Dalam pada itu, menurut sumber solat jenazah ghaib juga diadakan di rumah keluarga Dr Rumihati bertempat di Kampung Ulu Putatan, yang disertai kira-kira 20 ahli keluarga.
Sumber berkata pihak keluarga meminta semua masjid seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Maghrib, hari ini.
Terdahulu, tiga rakyat Malaysia berasal daripada Sabah dilaporkan meninggal dunia manakala dua parah selepas terlibat dalam nahas kemalangan maut sedang bercuti di New Zealand.
Semua mangsa dipercayai menaiki kereta sewa sebelum mengalami kemalangan dengan sebuah lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura, sekitar jam 3.10 petang waktu tempatan atau jam 8.10 malam waktu Malaysia.
Tiga disahkan maut dalam kejadian itu adalah Dr Rumihati, 49, suaminya, Adenan Jeman, 49, dan seorang anak mereka, Nur Aleeyah Maisarah, 13.
Manakala seorang lagi anak pasangan berkenaan, Nur Irfan, 15, yang parah dalam kejadian terbabit meninggal dunia sewaktu mendapat rawatan di Hospital Christchurch, kelmarin.
Anak bongsu pasangan berkenaan berumur 11 tahun dilaporkan stabil dan kini masih menerima rawatan di Hospital Wellington.
SabahNews Today