4 Termasuk 2 Kanak-Kanak Cedera Dalam Kemalangan

Warga emas yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dalam kemalangan yang berlaku di Kinabatangan.

KINABATANGAN: Empat termasuk warga emas dan kanak-kanak cedera dalam dua kemalangan berasingan di Kinabatangan dan Kunak, di sini hari ini.

Dalam insiden kemalangan di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 9 pagi mengenai insiden itu sebelum sebuah jentera diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan Hairul Jamal bersama empat anggota bergegas ke lokasi.

Apabila tiba di lokasi kejadian, dua kenderaan jenis Isuzu Dmax dan Proton Saga Aerobik didapati terlibat dalam kemalangan itu.

Tiga mangsa di kenderaan Proton Saga termasuk dua kanak-kanak mengalami kecederaan ringan manakala, seorang pemandu warga emas didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Manakala, tiga mangsa menaiki Isuzu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Ibrahim Hashim,69, manakala, dua kanak-kanak yang cedera adalah Muhammad Irsyad Rayyan Mohd Ramli, 5, dan Siti Nurhasanah Mohd Ramli,8.

Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan menggunakan ambulans untuk rawatan selanjutnya.

Dalam kemalangan berasingan di Jalan Utama Kunak-Lahad Datu, Simpang 4, Kunak, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.54 pagi dan dua buah jentera yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Rasah Kaluang bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba dilokasi, didapati dua kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux Vigo bertembung dengan Toyota Hilux dan seorang penumpang dalam Hilux Vigo mengalami kecederaan ringan. Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang mengalami cedera  ringan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kemalangan.

Mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan selanjutnya.

BorneoToday

2311