Polis Tahan 7 Penagih Dan Seorang Pengedar Dadah

Tujuh suspek yang ditahan – Gambar IPD Papar

POLIS TAHAN TUJUH PENAGIH DAN SEORANG PENGEDAR DADAH

PAPAR: Polis Papar terus menggandakan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini apabila berjaya menahan tujuh penagih dan seorang pengedar dadah, semalam.

Operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sekitar kawasan Kampung Laut Papar, kira-kira jam 6 pagi.

Peket plastik berisi dadah jenis syabu yang dirampas daripad suspek dalam operasi di Papar. Gambar IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata hasil operasi itu, pihaknya berjaya menahan lapan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Katanya ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek didapati positif dadah jenis syabu.

“Hasil daripada tangkapan itu, polis turut berjaya merampas dadah seberat 1.07 gram daripada salah seorang suspek.

“Suspek terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya hari ini.

Batholomew berkata tujuh lagi suspek yang ditahan pula akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Batholomew berkata kejayaan operasi ini adalah salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya bagi IPD Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

“Operasi ini juga dijalankan bagi mencegah sebarang aktiviti jenayah daripada berlaku di daerah ini.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di daerah ini supaya disalurkan kepada boleh pihak PDRM khususnya IPD Papar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

SabahNewsToday

2911