Sukan SEA: Malaysia Dimalukan Kemboja, Skuad U23 Negara Gagal Ke Separuh Akhir

Skuad Kim Swee pulang awal

MANILA: Cabaran skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara pada saingan Sukan SEA 2019 berakhir selepas tewas 1-3 di tangan Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Rizal Memorial, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Kemboja mengiringi juara kumpulan, Myanmar mara ke separuh akhir biarpun Filipina menang 6-1 ke atas Timor Leste dalam satu lagi perlawanan berlangsung serentak.

Pemain Malaysia, Muhammad Danial Haqim Draman ketika mengasak pemain Kemboja pada saingan Sukan SEA ke-30 di Stadium Rizal Memorial hari ini. – Foto BERNAMA

Kemboja layak berdasarkan jumlah gol yang memihak pasukan itu.

Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan kali ini dengan pemain jelas tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam keempat-empat perlawanan peringkat kumpulan.

Aksi dengan Kemboja hari ini menjadi satu lagi bukti skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu gagal menunjukkan semangat juang tinggi biarpun sedar mereka wajib meraih tiga mata.

Sebaliknya, lawan yang dilihat lebih dahagakan kemenangan apabila mengawal perlawanan sejak dari awal bagi memburu gol.

Buruan gol Kemboja akhirnya membuahkan hasil apabila In Sodavid membuka tirai jaringan minit ke-56 sebelum Sieng Chathea meledak gol kedua pasukan itu dua minit kemudian.

Keo Sokpheng melengkapkan kemenangan Kemboja apabila meledak gol ketiga minit ke-67. 

Gol Malaysia dijaringkan Quentan Cheng pada minit ke-89.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas bola sepak Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia yang juga di bawah kendalian Kim Swee.

Berita Harian

653