
PENAMPANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan maut selepas terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di Jalan Bundusan, di sini petang semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke wad kecemasan Jesselton Medical Centre (JMC), Jalan Lintas, pada pukul 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata siasatan awal mendapati keluarga mangsa keluar makan di sebuah restoran di tingkat lima bangunan berkenaan.
“Ketika itu mangsa bersama abangnya bermain di kawasan sekitar dan melalui satu lorong jejantas penghubung sebuah lagi bangunan yang masih dalam pembinaan.
“Mangsa dipercayai tergelincir dan terus jatuh dari tingkat lima,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu terus membawa mangsa ke JMC untuk mendapatkan rawatan.
Menurut beliau lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas di JMC.

Katanya siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
SabahNewsToday