Budak 7 Tahun Maut Digilis Van

Lokasi kanak-kanak berkenaan dilanggar sebelum digilis. / Gambar BESTAWAUfm

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas digilis bas mini di Batu 3 Jalan Apas, berhampiran Kampung Sungai Buaya, dekat Tawau, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Amir Ramli, 7, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian berlaku ketika pemandu bas mini berumur 40 tahun menghantar penumpang dari Semporna ke Kampung Sungai Buaya.

Gambar BESTAWAUfm

Bagaimanapun katanya, selepas selesai menurunkan penumpang pemandu terbabit kemudiannya memandu keluar dari kawasan itu dan pada masa yang sama mangsa dikatakan secara tiba-tiba melintas di jalan berkenaan.

“Mangsa yang pada awalnya berada di bahu jalan sebelah kanan melintas jalan sebelum melanggar bahagian sisi kanan bas mini terbabit.

“Akibatnya, mangsa terjatuh lalu tergilis di bahagian tayar belakang sebelah kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

1191