Sabah Catat Kes Tertinggi Perceraian Anak Tempatan Dan Warga Asing

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Wanita tempatan di Sabah dinasihat untuk memastikan lelaki warga asing yang bakal dikahwini memiliki dokumen lengkap dan masuk secara sah ke negeri ini bagi mengelak anak berdepan masalah kerakyatan.

Peringatan itu diberikan peguam, Noor Azah Abdul Rahman yang menjelaskan banyak kes diterima membabitkan perkahwinan warga tempatan di negeri ini dengan warga asing pemegang pas kerja sementara.

Berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah, sebanyak 4,503 kes perceraian antara warga tempatan dan warga asing bagi tahun 2014 hingga 2016 dengan Sabah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,067 kes.

“Kebanyakan kes perceraian kita terima disebabkan suami tidak beri nafkah kepada isteri dan anak, berlaku penderaan, suami dipenjarakan, suami penagih dadah, kaki pukul atau suami lari pulang ke negara asal meninggalkan isteri dan anak begitu saja.

“Dalam undang-undang, pemegang pas lawatan kerja sementara tidak boleh berkahwin dengan warga tempatan dan kalau mahu berkahwin, perlu pulang ke negara asal dan datang semula selepas enam bulan melalui cara yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mengenai perkahwinan dengan warga asing dalam Program Seminar Kesejahteraan Rakyat dan Undang-undang anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) di dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, hari ini.

Program itu disertai kira-kira 100 penduduk sekitar Batu Sapi.

Noor Azah menjelaskan perkahwinan dengan warga asing yang masuk secara haram ke negeri ini akan menyebabkan mereka berdepan kesukaran mendapatkan sijil nikah dan taraf kerakyatan anak yang bakal lahir, sehingga menyebabkan anak menjadi bukan warganegara, biarpun seorang daripada pasangan adalah warga tempatan.

“Paling penting, jika masuk (ke Sabah) secara sah, kahwin secara sah, anak mereka juga akan dapat hak pendidikan yang sama seperti rakyat tempatan,” katanya.

JHEWA juga menyediakan khidmat krisis guaman rumah tangga dan setakat ini, sambutan di negeri ini adalah menggalakkan dengan kira-kira 200 kes sudah dikendalikan jabatan itu sejak ia diperkenalkan.

Biarpun ramai yang datang mendapatkan khidmat itu, jelasnya, tapisan terpaksa dibuat susulan jumlah peruntukan yang terhad untuk membantu mengendalikan kes dihadapi wanita serta melaksanakan program kesedaran.

Sumber: Berita Harian

2910