Penunggang Motosikal Maut Gagal Elak Kereta Buat Pusingan U

Kereta yang mengakibatkan seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar kereta yang membuat pusingan U, di Batu 3, Jalan Apas. Foto Ihsan PDRM.

TAWAU: Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar kereta yang membuat pusingan U di Batu 3, Jalan Apas di sini, tengah malam tadi.

Mangsa yang berusia 20-an itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

SEORANG pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar kereta yang membuat pusingan U, di Batu 3, Jalan Apas. – Foto Ihsan PDRM.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata ketika kejadian pada jam 12.16 tengah malam, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam perjalanan menuju Balung dari arah pusat bandar.

Bagaimanapun, katanya, mangsa gagal mengelak PROTON Saga yang dipandu lelaki berusia 37 tahun yang membuat pusingan U.

“Akibat jarak terlalu dekat mangsa tidak dapat mengelak sebelum tercampak ke bahu jalan sebelah kiri, manakala motosikal yang ditunggangnya tercampak ke dalam longkang.

“Kereta itu pula terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lagi kenderaan lain sebelum terjatuh ke dalam longkang kira-kira 800 meter dari tempat kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta berkenaan menyerah diri di IPD Tawau pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian

1070