MOTAC Keluarkan 28 Notis Pelbagai Kesalahan Pelancongan

KOTA KINABALU: Sebanyak 28 notis dikeluarkan ke atas kenderaan pelancongan atas pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Bersepadu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (MOTAC) bersama beberapa agensi penguatkuasaan pada 15 hingga 16 November lalu.

Pengarah Pejabat MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, sepanjang dua hari operasi bersepadu itu dijalankan di beberapa lokasi berasingan, 151 buah kenderaan pelancongan telah diperiksa.

Katanya, pemeriksaan turut dilakukan di tiga premis pelancongan yang disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Daripada pemeriksaan kenderaan yang dilakukan, 28 notis dikeluarkan kepada kenderaan pelancongan yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam Akta Industri Pelancongan 1992.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada pemandu pelancong,  tidak membawa permit asal kenderaan, tidak menggunakan kenderaan pelancongan,  tiada pemandu pelancong dan lesen pemandu pelancong tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan,  di sini pada Ahad.

Menurutnya, bagi kesalahan tiada pemandu pelancong, sebanyak 11 notis dikeluarkan, kesalahan tidak membawa permit asal bas pelancongan (11 notis), kesalahan lesen pemandu pelancong tamat tempoh (tiga notis), kesalahan tidak menggunakan kenderaan pelancongan (bas catar) sebanyak satu notis, dan kesalahan bahasa pemandu pelancongan (dua notis).

Beliau berkata, operasi berkenaan turut dijalankan dengan kerjasama Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ahmad Zaki berkata, dalam operasi yang sama, sebanyak 56 saman polis trafik dikeluarkan dan 21 saman lagi dikeluarkan oleh JPJ.

Operasi bersepadu itu dijalankan di Stesen Penguatkuasa JPJ Telipok, KM 5, Jalan Kota Belud-Tuaran, Kota Belud; Jesselton Point Kota Kinabalu dan KKIA.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu menyasarkan kenderaan dan syarikat pelancongan yang melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 dan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, MOTAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar kesalahan dibawah Akta Industri Pelancongan.

“MOTAC akan terus menjalankan operasi bagi memastikan semua pengusaha dan penggiat industri pelancongan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam akta berkenaan,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *