
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan seorang juragan menyeludup keluar 325 liter petrol melalui kawasan perairan Persisiran, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, perahu dikendalikan lelaki tempatan berusia 50-an dikesan sepasukan anggota PPM dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata juragan terbabit memberi pelbagai helah ketika disoal siasat, selain menyatakan arah tuju yang tidak menentu.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa muatan 13 tong yang setiap satunya mengandungi kira-kira 25 liter minyak petrol tanpa dokumen atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Pajeri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek mendapatkan bekalan minyak petrol terbabit di pekan Semporna sedikit demi sedikit dan dikumpul untuk diseludup ke Filipina.
Katanya, modus operandi yang kerap digunakan penyeludup itu berjaya dipatahkan berikutan maklumat risikan, selain operasi berterusan.
“Suspek ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961,” katanya.
Berita Harian