Paip Air Di Sandakan Perlu Diganti Dan Ditempatkan Semula

Vivian Wong

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata, paip-paip air dari stesen penapis air yang menyalurkan bekalan air ke Sandakan telah usang dan memerlukan perhatian Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk membiayai pusingan baharu bagi penggantian dan penempatan semula paip air.

Beliau berkata, kira-kira 52 juta liter air paip disalurkan dari stesen penapisan air Kinabatangan ke Sandakan setiap hari. 

Bagaimanapun, katanya, saluran paip yang sedia ada sangat usang kerana telah dibina serta digunakan sejak tahun 1988 dan kini berusia 31 tahun.

“Pihak berkenaan harus mempertimbangkan cadangan untuk memperuntukkan dana membiayai pusingan baharu penggantian dan penempatan semula paip air di Sandakan juga di Sabah dengan serius sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Tambahnya, kekerapan membaiki paip air dan rondaan memeriksa keadaan paip saluran bukan solusi kerana pada akhirnya ia akan mengakibatkan lebih banyak pembaziran.

Selain itu, jelasnya terdapat banyak saluran paip air dibina dalam ladang kelapa sawit dan kawasan terpencil lain yang tidak mempunyai persimpangan jalan.

Beliau turut nendedahkan, daripada 1,200 kilometer paip air di Sandakan, kira-kira 227 kilometer ataupun 19 peratus adalah paip yang telah digunakan lebih 20 tahun.

Jelasnya, situasi ini menyebabkan masalah seperti paip pecah tidak dapat diatasi dengan tepat.

Ini juga menuju kepada indeks purata Air Tanpa Hasil (NRW) di Sabah yang mencapai 52 peratus, lebih tinggi daripada indeks negara iaitu 35 peratus.

Vivian berkata demikian ketika mengemukakan cadangan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli semasa menghadiri perbahasan Akta Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat.

Di samping itu, Vivian juga menekankan bahawa Sandakan sering mengalami masalah gangguan bekalan air dalam tempoh dua bulan yang lalu.

Katanya, rekod oleh pihak berkenaan bagi gangguan itu adalah purata tiga hingga empat hari.

Keadaan ini sekaligus mendatangkan masalah yang serius kepada penduduk Sandakan kerana gangguan bekalan air mengganggu rutin harian mereka.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *