Kalau Hajiji Tidak Faham Sila Tanya, Jangan Buat Tuduhan – Aziz Jamman

Azis ketika ditemui media

INANAM: Susah sangatkah untuk Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk bertanya dan minta penjelasan jika tidak faham tentang pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS)?

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Hajiji sepatutnya bertanya jika beliau tidak tahu apa sebenarnya PSS, namun bekas pemimpin UMNO itu nampaknya lebih berminat untuk membuat tuduhan tidak berasas.

Azis menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang pengunjung di program tersebut.

Katanya, tuduhan Hajiji kononnya PSS menggalakkan kemasukkan lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini dan perlu dikaji balik adalah amat mengecewakan.

“Ini menunjukkan bahawa Hajiji tidak faham tentang cadangan pemberian PSS, kenapa tidak bertanya?

“Apa yang saya kecewa ialah sesetengah orang anggap PSS ialah bagi kewarganegaraan kepada PATI, sebenarnya tidak, ini usaha kerajaan selaraskan pelbagai dokumen warga asing  sebelum ini iaitu IMM13, Sijil Burung-Burung dan Sijil Banci,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Sayang Sepanggar, Inanam Bersih semalam.

Menurut Mohd. Azis, ketiga-tiga dokumen berkenaan amat mudah dipalsukan, justeru digantikan kepada PSS yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan untuk mengenal pasti pemegangnya.

“Lepas ini, jika Jabatan Imigresen melakukan operasi dan masih ada yang pakai IMM13, Sijil Burung-Burung atau Sijil Banci selepas PSS diisukan mereka akan ditangkap,” katanya.

Katanya, semua pihak termasuk Hajiji boleh datang untuk melihat sendiri proses pengeluaran kad itu nanti atau jika beliau mahu menghantar wakil sahaja pun amat dialu-alukan.

Tegasnya, Hajiji mempunyai hak untuk menyalak hanya jika jumlah PSS yang dikeluarkan lebih daripada yang sepatutnya.

“Ketua Menteri telah jelaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa pemegang PSS tidak layak memohon kewarganegaraan, jadi tolonglah dengar penjelasan sebelum keluarkan komen.

“Jika Hajiji tidak faham tolong tanya atau minta maklumat, tidak perlu mempengaruhi komuniti Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) dengan mendakwa Warisan mahu memberikan dokumen kerakyatan kepada PATI,” tegasnya.

Tambahnya, satu mesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Sabah akan diadakan esok untuk membincangkan perkara itu.

“Selepas itu menteri akan bersidang untuk keputusan akhir kemudian kita akan adakan sesi penerangan dan soal jawab bersama ketua-ketua komuniti,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *