
SANDAKAN: Tiger Platun Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki termasuk seorang warganegara Filipina dan merampas senapang jenis bakakuk di sebuah rumah perkampungan atas air, di Kampung Melayu, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 1.30 pagi itu, PGA turut merampas empat butir peluru penabur dan 85 peket syabu dianggarkan bernilai RM4,000.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata serbuan menerusi Operasi Khazanah itu dijalankan selepas menerima aduan daripada orang awam.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit kita menahan dua lelaki. Seorang daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dipercayai warganegara Filipina.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan senjata api jenis bakakuk, empat butir peluru penabur dan 85 peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 60 gram.

“Bagaimanapun pemilik bakakuk dan syabu berkenaan bertindak melarikan diri dengan terjun ke bawah rumah selepas menyedari kehadiran pihak penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan manakala semua barangan terbabit dirampas termasuk alat penimbang digital, empat gulung kertas aluminium foil, pelbagai mata wang asing, parang dan motosikal.
Kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SabahNewsToday