Bandar Datuk Panglima Abdullah Dibangunkan Di Semporna

SEMPORNA: Projek pembangunan Bandar Datuk Panglima Abdullah di Jalan Bubul, akan menjadi pemacu utama kemajuan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di daerah ini untuk jangka masa panjang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, projek pembangunan bercampur yang dibina di atas tapak seluas lebih enam hektar itu bakal menelan belanja RM100 juta dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

“Selain rumah kedai, bandar baharu ini juga akan dilengkapkan dengan pelbagai fasiliti lain termasuk pembinaan apartment dan pusat membeli belah.

“Ia dijangka mampu menyediakan banyak peluang dan ruang pekerjaan sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat terutamanya dalam bidang perniagaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bandar Datuk Panglima Abdullah di sini hari ini.

Tambahnya, pembinaan bandar baharu itu juga mampu mengatasi masalah Pekan Semporna yang kini semakin sesak selain kekurangan fasiliti atau kemudahan khususnya kepada pelancong dari luar negara.

“Saya yakin, di sini juga akan dibina hotel atau tempat penginapan bagi menampung kehadiran pelancong yang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau menyokong penuh usaha pemaju projek itu, Sawit Kinabalu dalam mengembangkan fungsi agensi berkenaan ke bidang lain.

“Ini yang kita mahukan, bukan saja dalam bidang perladangan kelapa sawit, Sawit Kinabalu mampu berkembang menjadi agensi syarikat milik kerajaan (GLC) pelbagai fungsi termasuk dalam bidang pembangunan hartanah.

“Jika ada tanah milik Sawit Kinabalu yang tidak sesuai untuk perladangan, maka ia tidak akan dijual sebaliknya dibangunkan sendiri untuk projek lain,” katanya.

Menurut Mohd Shafie, ia satu pendekatan yang baharu dan akan dikembangkan kepada GLC lain pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, perancangan rapi akan dilakukan bagi mengelak pertindihan fungsi setiap GLC yang ada,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *