Polis Tahan Lima Lelaki, Rampas Bakakuk, Senapang Guli Dan Peluru

Senapang buatan sendiri dan peluru yang dirampas dalam serbuan di Kampung Petani, Pitas. Gambar SNT/ Ihsan IPD Kota Marudu

PITAS: Polis menahan lima lelaki dan merampas enam senapang buat sendiri jenis bakakuk dan senapang guli dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Petani, di sini malam semalam hingga awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula jam 11 malam hingga 1 pagi itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu turut merampas 61 butir peluru.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata serbuan pertama menahan tiga lelaki dan merampas tiga senapang bakakuk serta satu laras senapang guli.

“Turut dirampas 50 butir peluru manakala serbuan kedua dan ketiga menahan dua lelaki dan merampas dua laras bakakuk serta 11 butir peluru.

“Pemeriksaan mendapati kelima-lima suspek berusia 25 hingga 45 tahun warga tempatan dan bekerja sebagai petani,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Izaan berkata tangkapan dan rampasan di bawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut.

“Semua lima suspek ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *