Dua Lelaki Ditahan Miliki Senjata Api, Daun Dan Ketum

SANDAKAN: Dua lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan Isnin lalu kerana memiliki senapang angin, senapang patah atau bekakuk dan beberapa butir peluru.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 1 petang di sebuah rumah di Batu 12, seorang lelaki tempatan berumur 60-an ditahan kerana memiliki 10 kilogram daun ketum.

“Turut ditemukan ialah 148 liter air ketum yang disimpan dalam 93 botol mineral bersaiz 1.5 liter di dalam peti ais di rumah berkenaan.

“Polis turut menemukan selaras senapang angin, lapan butir peluru hidup, lebih 100 butir bebola besi dan wang tunai RM1,560,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan merebus daun ketum seperti periuk besar, tong gas, dapur api, corong dan penapis.

Sehubungan itu katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan penjara tidak lebih empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan memiliki senjata api, suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut beliau, dalam serbuan kedua di lokasi sama, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan selepas didapati memiliki selaras bakakuk dan tiga butir peluru hidup.

Katanya, ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis syabu.

“Kedua-dua suspek kini direman selama 4 hari sehingga esok,” tambahnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *