Majlis Khas Ditubuh Pantau Pelaksanaan Tuntutan MA63

KOTA KINABALU: Bagi memastikan semakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diteruskan, cadangan menubuhkan Majlis Khas bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet telah dikemukakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, memandangkan Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) tamat pada Isnin (18 November) maka, penubuhan Majlis Khas ini perlu bagi memantau kemajuan keputusan-keputusan yang dibuat dalam jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata, majlis khas itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh ahli-ahli di peringkat Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta ahli-ahli lain mengikut keperluan.

Katanya, Majlis Khas itu akan ditubuhkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Mengenai soalan tambahan dikemukakan Jeffrey yang mahu Sabah mendesak agar Perjanjian Royalti Minyak (PDA) 1976 dibatalkan, Mohd Shafie berkata, Kerajaan Sabah harus menghormati perjanjian yang dilakukan oleh pemerintah terdahulu.

“Kita kena hormati perjanjian itu, kita kena mengikut lunas undang-undang. Tidak bererti bila kita mengambil kuasa, kita batalkan semuanya. Saya yakin tiada pemerintah di dunia ini yang mengamalkan keadaan sebegitu.

“Apa juga keputusan selepas pilihan raya, kerajaan semasa tidak boleh membatalkan apa sahaja perjanjian yang telah dipersetujui kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Mengenai Pemberian Khas Sabah, Menteri Kewangan Persekutuan telah meningkatkan peruntukan pemberian khas itu daripada RM26.7juta kepada RM53.4juta pada 2020.

Katanya, pemberian khas itu akan terus meningkat kepada RM106.8juta dalam tempoh lima tahun, iaitu pada 2024.

BorneoToday

130