Lapan PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu Sekitar Kota Kinabalu

Antara individu yang diperiksa dalam Ops Bersepadu Di Sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 28  individu yang diperiksa dalam operasi selama lima jam bermula 5.00 petang, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata operasi itu dijalankan di lima lokasi di sekitar daerah ini.

“Semua yang ditahan berumur antara 14 hingga 42 tahun dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi PATI yang didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata, operasi itu turut dibantu Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah Electricity Sdn Bhd, Rela dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Operasi itu akan dijalankan secara berterusan dan orang ramai disambut baik bagi menyalurkan maklumat kepada polis.

BERNAMA

2618