Langgar 3 Kenderaan Polis, Dua Lelaki Ditahan

Kereta suspek yang merempuh salah sebuah kenderaan milik anggota polis berhampiran sebuah kedai di Penampang Baru, semalam. Gambar SNT/Sumber media sosial

PENAMPANG: Dua lelaki nekad merempuh tiga kenderaan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam kejadian berhampiran sebuah kedai di Penampang Baru, di sini semalam.

Bagaimanapun kedua-dua suspek tempatan berusia 26 dan 38 tahun meloloskan diri gagal apabila ditahan pasukan polis dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.

DSP Mohd Haris Ibrahim. Gambar Fail SNT

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang yang menjalankan Ops Tapis menghampiri sebuah kenderaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, suspek kemudiannya cuba meloloskan diri dengan memandu kenderaannya hingga melanggar tiga kenderaan lain yang digunakan anggota polis ketika operasi itu.

“Usaha suspek meloloskan diri bagaimanapun tidak berhasil selepas mereka ditahan dan pasukan serbuan tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Haris berkata hasil pemeriksaan menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu.

“Rampasan dadah syabu seberat 0.65 gram yang dianggarkan bernilai RM100. Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu.

Dua suspek ditahan polis selepas merempuh tiga kenderaan milik anggota polis narkotik IPD Penampang. Gambar SNT/Sumber media sosial

“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut bagi mengetahui dari mana bekalan dadah itu diperoleh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *