35 Rumah Perkampungan Atas Air Di Sandakan, Musnah Terbakar

Keadaan rumah selepas kebakaran tengah malam tadi di perkampungan atas air di Kampung Bugaya, Batu Sapi, Sandakan. 

SANDAKAN, 20 Nov: Sebanyak 35 rumah musnah dalam kebakaran sekitar tengah malam tadi di sebuah perkampungan atas air di Kampung Bungaya, Batu Sapi dekat sini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri menerima panggilan kecemasan pada 12.40 malam dan sepasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bergegas ke tempat kejadian kira-kira 22km dari balai berkenaan.

Keadaan rumah selepas kebakaran tengah malam tadi di perkampungan atas air di Kampung Bugaya, Batu Sapi, Sandakan.

“Operasi melibatkan kawasan terjejas seluas 1.5 ekar (0.6 hektar) dan kebakaran dapat  dikawal pada 2.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada 5.19 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Keadaan rumah selepas kebakaran tengah malam tadi di perkampungan atas air di Kampung Bugaya, Batu Sapi, Sandakan.

Dalam operasi tersebut, seorang anggota Rela tidak sedarkan diri semasa menjalankan tugas mengawal keadaan dan telah diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Api menjulang tinggi dalam kebakaran yang memusnahkan 35 rumah atas air di Kampung Bugaya, Batu Sapi, Sandakan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *