Lebih 400 Hektar Tanah Bangun Pekan Kalabakan

KALABAKAN, 14 Nov: Tanah seluas 404.686 hektar diperuntukkan bagi pembangunan pekan Kalabakan yang merangkumi bangunan urus setia, pejabat daerah selain tapak gerai berpusat.

Berkongsi perkara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata pelbagai program pembangunan Kalabakan sedang dirancang secara berfasa.

“Sebagai permulaan, pembinaan Pejabat Daerah Kalabakan selain kerja-kerja membangun infrastruktur termasuk menyediakan tapak tamu bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat memulakan aktiviti sosioekonomi di pekan Kalabakan,” katanya ??????.

?Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pejabat Daerah Kalabakan di sini, hari ini.

Bangunan Pejabat Daerah Kalabakan mulai beroperasi 24 Julai lalu dengan kakitangan seramai 20 orang.

Ewon berharap Pegawai Daerah Kalabakan Abdul Rashid Abdul Harun memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kalabakan.

Dalam pada itu, berhubung masalah air dihadapi penduduk Kalabakan, Ewon berkata isu air di Tawau dan Kalabakan mendapat perhatian dalam mesyuarat Kabinet negeri selain Jabatan Air Negeri Sabah diberi mandat mencari penyelesaian tuntas berhubungan bekalan air itu.

“Pembinaan Loji Rawatan Air sendiri di Kalabakan antara penyelesaian kepada masalah air dan saya percaya wakil-wakil rakyat membawa perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri serta kepada pengetahuan menteri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, menurut Ewon, kementeriannya menyediakan peruntukan kecil untuk peringkat kampung meneroka sumber air bawah tanah sebagai alternatif kepada penyelesaian masalah bekalan air dihadapi  kampung berkenaan.

“Kami (KPLB) mungkin tidak dapat selesaikan masalah air di semua kampung, tapi kalau kita mulakan dulu dengan satu kampung, teroka punca air bawah tanah, saya berpendapat dapat membantu Jabatan Air serta kementerian berkenaan,” katanya lagi.

Daerah Kalabakan merupakan daerah baharu di Sabah dengan keluasan 3,878.05 kilometer yang terletak di bahagian barat daerah Tawau dengan jaraknya dari bandar Tawau kira-kira 106 kilometer.

Kalabakan mendapat nama daripada perkataan ‘Kalapangkan’ bermaksud ‘dapat makan’ yang berasal dari bahasa suku kaum Tidong yang merupakan etnik majoriti di daerah itu selain Murut.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *